Thursday, 13 June 2013

TENTANG SEKOLAH



Sejarah Ringkas Penubuhan

Sekolah Rendah Islam (SRI) At Taqwa atau nama lamanya Madrasah Ad Diniah telah diwujudkan sejak tahun 1948. Sistem pengajian umum bercirikan pondok yang dibahagikan kepada dua iaitu pondok dalam dan pondok luar. Pondok dalam adalah untuk mereka yang sudah berumah tangga, manakala pondok luar untuk mereka yang masih bujang.

Pengajian secara umum ini diberikan oleh Tuan Guru Haji Rejab, Tuan Guru Haji Bakar, dan Tuan Guru Haji Tahir. Bangunan asal madrasah ini bertiang bulat, atap rumbia dan berdinding buluh.

Pengajian pondok ini berlanjutan sehingga 17 tahun sehinggalah pada tahun 1963, apabila bangunan dibina, maka sistem persekolahan telah diperkenalkan disamping mengekalkan sistem umum yang ada. Selain itu, ditambah pengajian sesi petang untuk masyarakat kampung.

Setelah Tuan Guru Haji Rejab meninggal, maka perkembangan sekolah ini terbantut kerana ketiadaan pengganti yang bersedia. Namun, sisitem umum dapat diteruskan walau tidak sepenuh masa oleh Tuan Guru Haji Hamid iaitu menantu Tuan Guru Haji Rejab. Setelah Tuan Guru Haji Hamid dijemput Ilahi, maka sistem pengajian ini terus terhenti.

Pada tahun 1990, satu cadangan telah dikemukakan oleh Tuan Haji Ramli bin Haji Senawi iaitu salah seorang anak murid Tuan Guru Haji Rejab kepada masyarakat tempatan untuk diwujudkan kembali sistem pengajian sekolah agama di peringkat sekolah rendah di Madrasah ini kerana 80% kemudahan telah tersedia.

Maka cadangan ini dibincangkan secara serius oleh satu Jawatankuasa Penaja yang dipengerusi oleh Ustaz Hashim Jasin lulusan Universiti Bagdad. Perbincangan ini menghasilkan beberapa keputusan yang baik untuk mewujudkan sebuah sekolah agama rakyat diperingkat rendah.

Maka pada 10 Disember 1990, Sekolah Rendah Islam (SRI) At Taqwa diwujudkan melalui wang derma permulaan dari ahli jawatankuasa penaja dan pengubahsuaian dilakukan secara gotong royong oleh penduduk setempat.


Objektif Penubuhan

1. Melahirkan individu Muslim yang soleh dengan menghayati ilmu pengetahuan yang diperoleh.
2. Membentuk generasi yang mampu diketengahkan dalam masyarakat moden yang mampu menghadapi cabaran masakini.
3. Melahirkan pelajar yang mampu memahami realiti masyarakat Islam antarabangsa dihari ini dan berusaha untuk mengembalikan kekuatan umat Islam seperti di zaman Rasulullah.


Moto

Ilmu Amal Taqwa

0 comments :

Post a Comment